BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, February 5, 2010

Mencari Titik Persamaan

Engkau sunni , aku syiah , mana sama dengan aku. Engkau Pas , aku Umno mana boleh berkawan. Aku PKR , engkau UMNO jauh panggang dari api. Inilah fenomena yang sering kita lihat. Satu pihak yang sama jenis tapi berpecah kepada beberapa bahagian.

Segala perbezaan yang wujud bukanlah kerana kita yang membezakannya tetapi Allah Azza Wajalla yang telah membezakannya. Allah telah menyatakan bahawa Dia jadikan manusia itu pelbagai bangsa , suku , kulit dan fahaman agar kita saling kenal-mengenali. Kalaulah Allah telah berkata begini , mengapa kita saling memusuhi orang lain , malahan berlakunya kafir-mengkafir. Nauzubillah.

Orang melayu mempunyai tiga parti - PAS , PKR , UMNO. Memang perjuangan parti berbeza tetapi hakikatnya tidaklah jauh berbeza. Tidak salah kita menjadi ahli parti mana-mana pun kerana semuanya membela nasib rakyat. Dan tidak salah untuk kita berbeza ideologi politik kerana perbezaan ideologi politik sudah pun berlaku sejak zaman para anbiya.

Cuma permasalahannya ialah mengapa kita memusuhi orang kita sendiri? Maki-hamun , cerca-mencerca , tuduh-menuduh , kafir-mengkafir dan macam-macam lagi yang kita lemparkan kepada orang kita musuhi. Kalaulah orang lain membuat kesilapan , tegurlah dengan berhemah. Kalau berbeza pendapat , hormatilah pendapatnya. Sedih tatkala melihatkan orang Melayu memusuhi orang melayu. Kita sama rumpun , sama agama tetapi bergaduh. Kalaulah fenomena ini berterusan bagaimana kita hendak menerangkan kepada orang lain bahawa orang melayu berbudi bahasa , agama islam menganjurkan kedamaian?

Oleh itu , wajarlah kita mencari titik persamaan antara kita dan jadikan titik persamaan itu kekuatan kita untuk menghadapi musuh-musuh dari luar. Alangkah indahnya apabila kita dapat mengenali orang yang berbeza dengan kita.